Selepas Terengganu, Kelantan Juga Guna Logo, Tema Hari Kebangsaan Seperti Kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kelantan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti kerajaan persekutuan iaitu “Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Hal itu disahkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, di kala Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berhasrat menggunakan logo dan tema yang berbeza, sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.

“Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu “Membangun Bersama Islam”. Lain-lain serta logo adalah sama,” katanya lapor Berita Harian.

Bahkan, Kelantan juga akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan lebih awal berbanding sebelum ini, iaitu pada malam 30 Ogos.

“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat pertama exco hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Katanya, beliau akan mencadangkan logo dan tema dilancarkan Pemuda PN diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

Bagaimanapun katanya, tiada paksaan untuk menerima cadangan sayap itu yang tujuan asalnya bagi digunakan untuk ucapan pimpinan komponen berkenaan, susulan keputusan kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema diperkenalkan Putrajaya.

BBerkaitan

Latest articles