Selepas Tarik Diri, Sivaraj Mungkin Dipertimbang Jawatan Sesuai Dalam Kerajaan

KUALA LUMPUR: Satu peranan bersesuaian di dalam kerajaan bakal dipertimbangkan kepada Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj selepas menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas Sivaraj sebelum ini bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH.

“Penarikan diri Sivaraj (daripada bertanding dalam PRU15 Padang Serai) dibuat tanpa syarat. Tapi saya yakin sebagai tokoh muda sudah tentu saudara Sivaraj ini layak untuk mendapat tempat.

“Dalam sebuah kerajaan baharu seperti ini tentu sahaja tokoh-tokoh muda sebegini akan ada tempat selayaknya yang akan kita pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah mega PH, malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Sivaraj dan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak.

Mengulas mengenai penarikan diri Sivaraj daripada pilihan raya itu, Saifuddin Nasution berkata, ia dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, antara asas yang dikemukakan PH untuk penarikan diri calon BN itu adalah keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

“Jadi dalam semangat kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman PH tarik diri, (manakala) di Padang Serai ini Sivaraj tarik diri dan saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat,” katanya.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa calon BN memberi laluan kepada calon PH untuk PRU15 Padang Serai 7 Disember ini.

BBerkaitan

Latest articles