Selepas Tak Sokong Anwar, Dr Mahathir Dakwa Najib Pula Mahu Jadi PM

Selepas membuat pengumuman akan keluar dari Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kali ini Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa jawatan yang sama diintai oleh Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi entri terbaru di blognya, Che Det yang bertajuk ‘Nasihat’, Dr Mahathir menyentuh beberapa kes Najib di mahkamah yang disifatkannya sebagai usaha untuk membebaskan bekas perdana menteri itu dari segala tuduhan.

Tulisan itu juga kononnya sebagai menjawab mengapa dirinya tidak mahu lagi bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Umno menyokong Muhyiddin jadi perdana menteri supaya usaha untuk melepaskan Najib dari dipenjara dapat dilakukan. Kita dapat lihat usaha ini sedang berjalan.

“Jauh daripada menunaikan janji untuk menjatuhkan Najib, Muhyiddin sekarang sedang berusaha supaya Najib bebas dari segala tuduhan dan dapat bertanding dalam PRU15. Di waktu itu Najib tidak perlu Muhyiddin lagi, kerana Najib berhasrat menjadi perdana menteri.

“Muhyiddin sekarang ini berusaha supaya Bersatu hilang pemimpin dengan melucut keahlian mereka,” katanya.

Bekas pengerusi Bersatu itu juga meramalkan nasib parti yang ditubuhkan pada 2016 itu akan kalah teruk pada pilihan raya akan datang kerana tersilap memilih langkah untuk bekerjasama dengan Umno.

“Dalam PRU15 Umno akan lawan dengan Bersatu yang tinggal terkuntang-kanting tanpa sokongan PH. Bukan sahaja Muhyiddin yang akan kalah tetapi semua calon Bersatu akan kalah,” dakwanya.

BBerkaitan

Latest articles