Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendakwa Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sepatutnya tidak bersetuju dari awal berkenaan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada penghujung Julai lalu.
Menerusi laporan polis yang dibuat pada hari ini, Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar membangkitkan bagaimana Juhar melanggar bidang kuasanya dan enggan bertemu dengan kesemua wakil rakyat Sabah sebelum mengambil keputusan berkenaan.
Sedangkan ketika itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah hilang majoriti apabila Tan Sri Musa Aman memperolehi 33 sokongan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
“Juhar patut jumpa semua 65 Adun sebelum menandayangani deklarasi pembubaran DUN,” tegasnya.
Zulkarnain juga mengimbau bagaimana Juhar melakukan kesilapan dalam pentadbiran apabial bertindak melantik Shafie sebagai ketua menteri, hanya beberapa hari selepas Musa dilantik ke jawatan itu.
Dalam pada itu, laporan polis yang dibuat pada hari ini juga bertujuan melindungi dirinya selepas menerima ugutan daripada pelbagai pihak susulan laporan yang dibuatnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lalu.
“Lebih 10 laporan polis turut dibuat terhadap saya kerana aduan itu, mendakwa saya menghina Juhar,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sri Petaling.