IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau bakal bertanding di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Perkara tersebut diumumkan beliau sewaktu menyampaikan ucapan pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh, malam tadi.
“Saya tak memilih kawasan yang mudah serta menjamin majoriti besar. Saya mengepalai dan berani tawan Parlimen Tambun dalam pilihan raya akan datang.
“Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat keyakinan kita,” katanya dalam ucapan tersebut.
Keputusan Presiden PKR itu untuk bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau mungkin bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu jika Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempertahan kerusi tersebut pada PRU15.
Sebelum ini Anwar dikatakan berminat untuk bertanding di kerusi dilarikan pengkhianat partinya.
Malah ada pihak yang menggesa Anwar untuk bertanding di Parlimen Gombak yang dimenangi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak beberapa penggal lalu.
Malah wujud juga desas-desus Anwar bakal kembali ke kerusi tradisinya di Permatang Pauh l.
Untuk rekod, Anwar menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Oktober 2018.