Selepas Kuala Kangsar, MP Labuan Pula Umum Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Mengambil kira rintihan rakyat di kawasannya terhadap isu kos sara hidup yang semakin tinggi, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman hari ini mengumumkan sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Suhaili, rakyat di Wilayah Persekutuan itu juga berdepan dengan masalah bekalan air dan elektrik sejak hampir 15 tahun lalu.

“Tindakan-tindakan yang diambil untuk mengatasi semua permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Labuan bolehlah dikatakan sebagai melepaskan batuk di tangga atau ‘piecemeal basis’ sahaja.

“Maka mengambil kira ke atas semua permasalahan rakyat Labuan yang saya nyatakan diatas saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula daripada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Suhaili turut mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Suhaili pada masa sama menegaskan, beliau akan terus taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu.

“Meskipun berkemungkinan akan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya.

“Demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang,” katanya.

Sebelum Suhaili, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada pertengahan Oktober lalu turut memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Iskandar Dzulkarnain berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Bagaimanapun Bersatu pada minggu lalu telah menghantar surat tunjuk sebab terhadap Iskandar Dzulkarnain berhubung tindakan menyokong Kerajaan Perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles