Selepas Kalah Di Gombak, Azmin Dakwa Pengundi Hulu Klang Bijak Menilai

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengharapkan pencalonannya di kerusi DUN Hulu Klang mampu mengembalikan ‘kekuatan’ dirinya dalam arena politik negara, setelah tewas di Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15, November lalu.

Apatah lagi Hulu Klang merupakan kerusi pertama yang dimenanginya ketika terlibat dalam politik, Azmin mendakwa itu juga satu kelebihan buat dirinya.

“Saya redha di atas kekalahan yang lalu (PRU15), kita muhasabah. Mungkin ada kelemahan, kita harus perbaiki. Namun Hulu Klang merupakan asas politik saya. Saya diberikan mandat dalam politik ini seawal 1999 di Hulu Klang, dan ketika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Gombak, Hulu Klang adalah dalam Parlimen Gombak. Jadi tidak timbul soal lari seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik saya.

“Tapi Hulu Klang merupakan kampung saya, saya dibesarkan di Kampung Klang Gate Baru semenjak 1968 dan rumah ibu bapa saya merupakan yang pertama meneroka kampung tersebut, saudara mara saya semua di Hulu Klang, dan saya percaya rekod yang ada di Hulu Klang, khidmat yang saya berikan, saya yakin pengundi Hulu Klang akan memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, pagi tadi.

Azmin, yang juga bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini juga ditanya mengenai pesaingnya, Juwairiya Zulkifli yang mana kedua-duanya pernah berjuang bersama-sama di dalam PKR.

“Persoalannya ialah rakyat ingin melihat kepimpinan. Apakah yang akan dibawa? Lawan saya daripada PH, sudah tentulah mereka melihat PH tidak ada rekod kejayaan setelah lapan bulan diberikan tugas ini, maka saya percaya rakyat di Hulu Klang dan juga Gombak dan Selangor akan melihat masa depan negara ini di bawah PN,” dakwanya lagi.

Azmin mendakwa PN yang dinaungi antaranya Bersatu dan PAS mempunyai peluang untuk menang di 56 kerusi DUN Selangor.

Beliau memberi alasan kononnya rakyat hari ini tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan selepas menang PRU15 yang lalu.

“Saya yakin kerana apa yang kita saksikan harini adalah gelombang ketidakpuasan rakyat bukan sahaja di Gombak, tetapi di seluruh negara di atas kecuaian, kelemahan dan kegagalan pentadbiran kerajaan Putrajaya untuk menangani masalah-masalah rakyat.

“Langsung tidak memberikan fokus dan tumpuan kepada permasalahan ekonomi, kos sara hidup dan juga inflasi yang sedang melanda negara pada hari ini,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles