Selepas Dijatuhi Hukuman 15 Tahun, Najib Rayu Rakyat Bertenang, Percaya Proses Kehakiman

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang, berfikiran rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menggugat keharmonian awam atau mencemarkan proses perundangan negara.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi wajar dinilai secara matang dan objektif, bukan sekadar melihatnya dari sudut nasib peribadi beliau, sebaliknya demi masa depan institusi negara serta prinsip undang-undang yang menjadi pegangan bersama.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun ia perlu disuarakan secara tertib, matang dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, di lobi Istana Kehakiman, malam ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap Najib selepas beliau disabitkan bersalah atas kesemua 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mensabitkan Najib atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Dalam kenyataannya, Najib berkata beliau akan terus memperjuangkan haknya melalui saluran sah dengan penuh maruah dan kesabaran, meskipun laluan itu disifatkan sunyi serta menuntut pengorbanan besar.

“Apa jua keputusan hari ini, keyakinan saya terhadap sistem kehakiman negara tidak pernah luntur. Ia adalah usaha menegakkan keadilan, memelihara integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Najib turut menegaskan pendiriannya untuk meneruskan perjuangan tersebut bukan didorong rasa dendam, sebaliknya berasaskan prinsip dan kepercayaan terhadap hak yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Saya menulis dengan fikiran yang tenang walaupun hati terasa berat. Ada ketikanya perjuangan ini seakan dipikul sendirian, namun apa yang saya tuntut hanyalah hak yang sah di sisi undang-undang dan yang telah diperkenankan,” katanya, sambil menegaskan perjuangan itu bukan bertujuan mengelak daripada tanggungjawab.

BBerkaitan

Latest articles