Selepas DAP Tolak, Parti Dalam PH Yang Mana Nak Terima Norhizam?

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dialu-alukan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) Melaka, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata demikian walaupun selepas DAP menolak penyertaannya dalam PH ketika PRN pada 20 November ini.

Ujar Adly, kedudukan Norhizam masih ‘boleh dirunding’.

“Perkara ini (penolakan DAP) boleh diselesaikan secara baik. PH tidak mengenepikan pandangan mana-mana pemimpin dalam komponen PH, termasuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menolak penyertaan Norhizam,” katanya memetik BH, hari ini.

Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, DAP menolak penyertaan Norhizam dalam mana-mana parti komponen PH pada PRN Melaka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Norhizam menang di kerusi Pengkalan Batu atas tiket DAP tetapi menjadi ADUN Bebas dan menyokong Perikatan Nasional (PN) di Melaka, menyebabkan PH tumbang di Melaka pada Mac 2020.

Turut keluar daripada PH ketika itu ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), selain dua ADUN dari BERSATU iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Norhizam yang menjadi ADUN Bebas menyertai bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dari UMNO dan BN; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) juga dari UMNO dan BN serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dari BERSATU menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Menjelaskan lebih lanjut, Adly berkata, PH tetap mengambil kira pandangan semua pihak dalam pakatan itu dan perbincangan boleh diadakan bagi mencapai persetujuan bersama.

“Saya yakin kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mampu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang akan diadakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin DAP berhak menyatakan pandangan mereka mengenai penyertaan Norhizam dalam mana-mana parti komponen PH tetapi pandangan keseluruhan parti komponen juga harus diambil kira.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini