Selangor Tegas Tangani Rumah Ibadat Haram, Tindakan Undang-undang Dilaksana Secara Berhemah

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menegaskan akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap pembinaan rumah ibadat yang didirikan tanpa kelulusan sah, namun pelaksanaannya akan dibuat secara berhemah demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketegasan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung larangan pembinaan rumah ibadat secara tidak sah dijangka mempercepat pelaksanaan tindakan sedia ada di peringkat negeri.

Menurut beliau, Selangor sudah lama mempunyai mekanisme tersusun menerusi penubuhan Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang berfungsi menyelaras dan menilai isu berkaitan rumah ibadat di negeri itu.

“Sejak lebih 15 tahun lalu, kerajaan negeri bukan sahaja membenarkan operasi rumah ibadat di lokasi yang sesuai dan mematuhi undang-undang, malah turut mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan atau melupuskan binaan yang tidak teratur.

“Puluhan tindakan perobohan telah dilaksanakan dan rekod tersebut wujud sekurang-kurangnya sejak 2015,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari, di sini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan terus memperkemas kaedah pelaksanaan tindakan agar selari dengan peruntukan undang-undang, tanpa mengabaikan sensitiviti dan keharmonian masyarakat setempat.

Beliau menjelaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut terlibat secara langsung dalam jawatankuasa LIMAS bagi meneliti pelbagai aspek penting termasuk status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta impak pembinaan terhadap persekitaran sekitar.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berkaitan pembinaan rumah ibadat tidak sah bagi menjamin keselamatan, ketertiban dan kematangan negara pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles