Selangor Tangguh Projek Ternakan Babi Di Bukit Tagar, Cari Lokasi Alternatif Susulan Bantahan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menangguhkan sementara cadangan projek ternakan babi di Bukit Tagar susulan bantahan penduduk setempat, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan menangguhkan projek itu sebenarnya telah diputuskan lebih awal menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), dengan arahan supaya kawasan alternatif dikenal pasti bagi mengelakkan sensitiviti masyarakat.

Menurut beliau, bantahan keras yang timbul di Bukit Tagar mendorong kerajaan negeri menilai semula perancangan tersebut sebelum ia diumumkan kepada umum.

Amirudin turut mengakui pengumuman awal berkaitan projek itu mencetuskan salah faham sehingga mencerminkan gambaran yang tidak tepat.

“Sebenarnya perancangan ini belum dimuktamadkan, namun seolah-olah projek sudah hampir dilaksanakan. Kita ambil iktibar agar libat urus dengan pihak berkepentingan dibuat lebih teliti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026.

Sementara itu, Anwar sebelum ini memaklumkan Kabinet berpandangan isu berkenaan perlu diteliti dari sudut alam sekitar dan keresahan masyarakat pelbagai kaum, sekali gus mencadangkan projek berkenaan dibatalkan terlebih dahulu.

Amirudin menegaskan cadangan projek tersebut bukan berskala mega seperti yang didakwa, sebaliknya disensasikan secara berlebihan, dan kerajaan negeri kini akan meneliti lokasi lain yang lebih sesuai serta kurang sensitif.

BBerkaitan

Latest articles