SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memutuskan untuk menghentikan sepenuhnya pengeluaran lesen baharu penternakan babi di seluruh negeri susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak memperkenankan aktiviti itu diteruskan.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang baru-baru ini, sebagai langkah menangani isu yang dikhuatiri memberi kesan kepada rakyat serta menjaga keharmonian negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah baginda dan akan mematuhi sepenuhnya keputusan tersebut.
“Menjunjung kasih titah terbaharu Tuanku Sultan Selangor, kerajaan negeri tidak akan lagi mengeluarkan lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sejak Januari lalu, kerajaan negeri sebenarnya telah menghentikan kelulusan lesen baharu dan kini memberi tumpuan kepada proses pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, selaras dengan titah yang dizahirkan bulan lalu.
Bagi ladang yang masih beroperasi, penutupan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kadar lebih pantas melalui kerjasama Jabatan Veterinar Selangor.
Mengulas isu bekalan, Amirudin menjelaskan kira-kira 70 peratus keperluan daging babi masyarakat bukan Islam di negeri ini ketika ini diperoleh melalui import dari negeri lain.
Susulan keputusan terbaharu MMKN, keseluruhan bekalan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkaitan.
Bagaimanapun, sebarang kelulusan berkaitan lesen import tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menjelaskan keputusan tersebut diambil dengan mengambil kira kebimbangan masyarakat terhadap kesan penternakan babi terhadap alam sekitar, termasuk isu pencemaran bau dan sistem saliran air.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan polemik berhubung isu berkenaan dan tidak memanjangkannya sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor.










