SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya negeri itu mahu menjadi pengeksport babi terbesar, sambil menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan bersifat provokatif.
Exco Infrastruktur Pertanian Negeri, Datuk Izham Hashim, berkata penternakan babi di Selangor hanya mampu menampung kira-kira 30 peratus keperluan masyarakat bukan Islam.
“Untuk kegunaan dalam negeri pun tak cukup, bagaimana pula nak eksport? Selangor tak pernah dan tak pernah rancang jadi pengeksport,” katanya.
Menurut beliau, isu itu sengaja dimainkan untuk mencetuskan sensitiviti kaum dan tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Jangan sentuh isu perkauman demi kepentingan politik,” tegasnya.
Izham berkata, perkara itu turut diperjelaskan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk rancangan memusatkan ladang babi di Bukit Tagar supaya pengurusan lebih tersusun.
Setakat ini, kira-kira 100,000 ekor babi diternak di Kuala Langat dan Sepang melibatkan 115 ladang di dua daerah tersebut.










