Selain Setia, Mereka Yang Berminat Sertai BN Tak Boleh ‘Gila Kuasa’

KUALA LUMPUR: Mana-mana parti politik yang ingin bersama dengan perjuangan Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai sikap setia selain menjiwai hasrat dan idea gabungam berkenaan.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, selain mengingatkan pihak-pihak berkenaan bahawa BN tidak seharusnya menjadi tempat kepada mana-mana parti untuk memperoleh kuasa sebagai kerajaan sahaja.

Asyraf berkata demikian sebagai mengulas hasrat yang disuarakan oleh kepimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN baru-baru ini.

“Yang paling penting siapa sahaja mahu terlibat dalam BN perlu setia, perlu benar-benar memahami dan menjiwai asas-asas dan idealisme perjuangan BN kerana asas perjuangan kami adalah untuk membela rakyat.

“Kalau ada nilai hanya nak merebut kuasa, kerana tamak bahawa BN sahaja boleh menjamin kekuasaan mereka saya rasa mereka harus nilai balik,” katanya.

Untuk rekod beberapa hari lalu Presiden PBM, Larry S’ng berkata, parti itu memberi mandat kepada Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin mengetuai delegasi parti terbabit mengadakan rundingan dengan parti lain termasuk perbincangan membentuk kerjasama politik.

Zuraida merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, bertindak keluar daripada parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.

Sementara itu Asyraf Wajdi lebih lanjut menjelaskan, persetujuan perlu dicapai oleh empat parti dalam BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS dalam menerima parti lain ke dalam BN.

“BN ini satu parti yang ada konsensus siapa sahaja yang mahu masuk ke dalam BN perlu persetujuan daripada keempat-empat parti komponen.

“Jadi saya sebagai Ketua Pemuda Barisan Nasional kita boleh menyuarakan pandangan nanti,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.

Bagaimanapun sehingga 11 Jun lalu PBM masih belum menyerahkan surat rasmi untuk menyertai BN.

BBerkaitan

Latest articles