Selagi UMNO Ada, Agenda DAP Tak Akan Lepas

KUALA LUMPUR: UMNO dilihat menjadi penghalang utama kepada tuntutan politik DAP dalam Kerajaan Perpaduan, kata Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican.

Beliau menegaskan kehadiran UMNO dalam kerajaan berfungsi sebagai benteng bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam, sekali gus menyekat pelbagai tuntutan yang dibawa DAP.

Menurutnya, antara desakan DAP yang berjaya dihalang termasuk cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

“Bukan setiap kali DAP bersuara, UMNO diam. Hakikatnya, tidak satu pun tuntutan besar mereka berjaya dilaksanakan kerana UMNO berada dalam kerajaan. Jadi mengapa kita masih dilabel ‘UMDAP’?” katanya ketika mencadangkan usul perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, kehadiran UMNO sepatutnya dibanggakan kerana menjadi faktor utama yang menggagalkan agenda yang dianggap bercanggah dengan kepentingan Melayu dan Islam.

Dalam masa sama, Hasnal Rezua menyeru bekas ahli UMNO yang meninggalkan parti sebelum ini supaya kembali menyertai perjuangan melalui inisiatif Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, usaha itu sudah mula menunjukkan hasil apabila bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, kembali muncul di pentas PAU 2025 selepas tiga tahun.

“Kita mesti terbuka menerima mereka yang mahu pulang. Inilah rumah bangsa, tempat kita kembali bernaung,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles