Sektor-sektor Ekonomi Dibuka Semula 4 Mei ini

Bermula 4 Mei ini, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan Standard Operasi Prosedur (SOP) kesihatan yang ketat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, ada beberapa kategori industri yang tidak diizinkan beroperasi seperti perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

Antaranya ialah panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

“Aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan,” katanya menerusi perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata, pembukaan semula sektor ekonomi itu penting kerana jika terlalu lama berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka akan terputus mata pencarian.

Malah ujar Muhyiddin, negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan manakala jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

“ Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” katanya.

“Walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan
pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti
amalkan.

“Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah,” katanya.

Manakala bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei ini, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Mesyuarat juga, katanya digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles