KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm yang memasuki hari keempat hari ini menjumpai petunjuk baru, antaranya seperti tong, khemah dan selimut.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, ketiga-ketiga peralatan perkhemahan yang dipercayai milik mangsa itu ditemui semasa operasi SAR pada sebelah tengah hari tadi.
“Pada tengah hari tadi kita ada jumpa petanda-petanda memberi kita semangat untuk mencari mangsa.
“Kita jumpa tong, bekas khemah di sektor C, jadi kita buat penggalian di kawasan itu.
“Namun negatif, tak jumpa apa-apa (mangsa),” katanya pada sidang media di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, petang tadi.
Terdahulu, Komander Operasi SAR, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan operasi SAR hari ini masih gagal mengesan mana-mana sembilan mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh itu.
Dalam pada itu, pihaknya akan melakukan kerja-kerja mengesan di semua zon berkali-kali dan hanya akan memutuskan untuk menghentikan pencarian itu jika pihaknya berpuas hati.
“Kita akan ulang pencarian (di semua sektor) sampai kita berpuas hati,” katanya.