PETALING JAYA: Polis menegaskan pihak sekolah hanya mengetahui suspek lelaki berusia 14 tahun yang menikam rakan perempuan berumur 16 tahun mempunyai masalah pembelajaran, dan bukannya masalah mental seperti didakwa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan mengenai keadaan mental suspek kerana polis bukan pakar psikiatri.
“Saya berpendapat tidak adil untuk saya komen soal mental kerana itu bidang pakar psikiatri. Setakat ini, saya dimaklumkan suspek hanya menjalani sesi kaunseling pemulihan bagi membantu kaedah pembelajaran, bukan berkaitan kesihatan mental atau personaliti. Perkara ini diuruskan pihak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sempena Deepavali di Jalan Tengku Kelana, hari ini.
Shazeli turut memaklumkan polis sedang meneliti kemungkinan pengaruh permainan video dan kandungan media sosial tertentu sebagai faktor yang mendorong tindakan suspek.
Menurutnya, dua lagi individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini, manakala keputusan bedah siasat terhadap mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh sebulan.
“Polis kini meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin menjadi pendorong,” katanya.
Mahkamah Majistret semalam membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.