Sejarah Buktikan DAP Yang Bunuh UMNO, Bukan PAS

KUALA LUMPUR: PAS menolak dakwaan kononnya ia mahu ‘membunuh’ rakannya, iaitu UMNO.

Menyingkap sejarah politik berpuluh tahun lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata hubungan antara parti lnya dan UMNO sebelum ini diibaratkan seperti adik beradik dan satu kaum.

“Saya difahamkan kenapa orang UMNO tidak mahu bergabung dengan PAS di Pahang ini kerana takut PAS bunuh UMNO. Bila PAS nak bunuh UMNO?

“Ia tak betul, bohong. Bila PAS nak bunuh UMNO?” katanya di Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Striti Darul Ummah, Pianggu, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, sejak tahun 1950-an lagi PAS menjadi sahabat UMNO ketika krisis dihadapi parti itu dan pemimpinnya termasuk Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Mahathir Mohamad.

“Pilihan Raya 1959, 60 kerusi Parlimen lepas merdeka, Datuk Onn kalah di Johor. Orang PAS jemput Datuk Onn bertanding di Kuala Terengganu. Menang di Kuala Terengganu. Dia Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

“Orang Johor tolak Datuk Onn, pemimpin UMNO. Pas ambil Datuk Onn jadi Ahli Parlimen di Terengganu. Baca sejarah,” katanya.

Selain itu, Timbalan Pengerusi PN itu juga menegaskan, DAP sebenarnya mempunyai sejarah ‘membunuh’ UMNO.

Katanya, Lim Kuan Yew menubuhkan parti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di singapura dan meletakkan barisan pemimpin Melayu untuk meraih pengundi, sama seperti dilakukan DAP di Malaysia yang menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wajahnya.

“Lepas itu, UMNO ditelan. Habis UMNO ditelan di Singapura oleh PAP. Singapura masuk Malaysia, PAP tubuh cawangan di Semenanjung pada 1963.

“Siapa yang bunuh UMNO dahulu di Singapura? DAP! Bukan PAS. Ini dia ‘anak’ kelahiran PAP di Singapura. UMNO lenyap di Singapura. Siapa bunuh? PAS ke bunuh? Sedar-sedarlah ahli UMNO,” tegasnya.

Justeru, beliau menempelak tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memilih bersama Pakatan Harapan (PH) susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan mahu pun di Pahang sendiri.

“Kita ni adik-beradik, satu kaum. Pergi terkam kat DAP pasal apa. Terkam DAP. Mungkin (pemimpin) yang baru ini tak baca sejarah. Kononnya Pas nak bunuh UMNO?” soalnya.

BBerkaitan

Latest articles