Sejarah baharu tercipta dengan lulusnya RUU larangan bertukar parti – Ismail Sabri

PARLIMEN — Hari ini, sejarah tercipta apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

“ Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada blok Kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini katanya di dalam satu kenyataan malam ini

Perdana Menteri yang turut mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen yang menjayakan pindaan RUU ini berkata Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen.

Tambah Ismail lagi, Rang Undang-Undang ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

“ Rang Undang-Undang ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

“ Terima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

“ Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan katanya

BBerkaitan

Latest articles