Sehari Sebelum Pengundian, Abang Jo Nasihatkan Rakyat Jadikan Kegagalan PH Sebagai Iktibar

KUCHING: Usah menggadaikan masa depan dengan mahu mencuba sesuatu yang baru, demikian gesa Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg juga mengingatkan semua rakyat Sarawak mengambil iktibar kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertahan 22 bulan kerana lemah dan tidak stabil.

Tegasnya masa depan rakyat bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak.

“GPS yang berpengalaman, cekap, disegani, berintegriti tinggi dan mempunyai rekod prestasi cemerlang akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Janganlah membuat kesilapan, kita mesti terus memperjuangkan perpaduan, keharmonian, autonomi dan kemakmuran Sarawak.

“Kami, pasukan GPS komited untuk meneruskan perjuangan dan usaha demi kecemerlangan Sarawak. Berilah peluang kepada GPS untuk terus berjuang demi kecemerlangan Sarawak untuk kemakmuran kita semua,” katanya dalam Seruan Kepada Semua Pengundi di Sarawak, hari ini.

Esok, seramai 1,213,769 pengundi biasa akan terlibat memilih 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam ucapannya, Abang Johari nekad meneruskan usaha bagi memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi untuk negeri ini sekiranya diberi mandat pada PRN-12.

Beliau sehubungan itu menyeru semua pengundi membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri, keluarga, komuniti dan Sarawak.

“GPS akan meneruskan agenda pembangunan sosio ekonomi bagi meujudkan sumber kekayaan baharu, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk belia dan generasi akan datang.

“Kami akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan supaya rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi terancang, holistik dan inklusif,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari turut menjamin GPS akan sentiasa berusaha melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Keraajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia.

Ia terbukti dengan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

“Kami akan memelihara perpaduan dan keharmonian yang sangat kita hargai di Sarawak di mana masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama dengan aman dan bekerja untuk generasi akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles