KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyebaran agama bukan Islam dari rumah ke rumah untuk membuat laporan polis supaya Tindakan boleh diambil.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata sebarang usaha yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang perlu dihentikan bagi mengelakkan keresahan awam, khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Sekiranya terbukti ada pihak yang melanggar peraturan, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memberi iktibar kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan terus memantau serta menguruskan isu-isu keagamaan dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan negara.
Kenyataan ini merujuk kepada video tular menunjukkan dua warga asing mengunjungi rumah-rumah di kawasan perumahan rakyat untuk menyebarkan ajaran bukan Islam, yang mencetuskan kebimbangan penduduk.
Susulan kejadian itu, Majlis Perundangan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, termasuk mengusir individu terbabit dari negara ini.
Sirajuddin turut menyeru semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengekalkan keharmonian negara.
“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Namun, mengikut Fasal (4), orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebarkan doktrin atau kepercayaan mereka kepada umat Islam,” katanya.