Sediakan Ruang Khas Untuk Petugas Media – Annuar Musa

KOTA TINGGI: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menggesa pihak penganjur khususnya program yang membabitkan parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menyediakan ruang khas sidang media untuk memudahkan petugas media.

Ujarnya, tindakan itu juga menbantu mengurangkan penularan jangkitan COVID-19, dengan penjarakan fizikal dalam kalangan petugas media.

Kata Annuar, petugas media adalah kumpulan yang sentiasa berada di lapangan dan sangat terdedah kepada risiko jangkitan.

“Jadi adalah elok bagi parti-parti yang mengendalikan pusat aktiviti, mengambil kira keselamatan pihak media.

“Kalau dapat diadakan di ruangan sidang media (PC) dan ada masa PC tersusun dan terkawal itu lebih baik daripada bersesak-sesak, ‘jolok’ atau sambil berjalan terpaksa minta komen dalam keadaan tidak terkawal.

“Ini boleh dilakukan demi kebaikan untuk semua sama-sama menjaga keselamatan lebih-lebih lagi petugas media.

“Kalau petugas media semua sakit nanti semua orang susah juga, tiada berita,” katanya selepas majlis penyampaian Watikah Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor (Zon Timur) di Dewan Serbaguna Kota Kecil, malam tadi.

Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut menasihatkan semua petugas media yang bertugas sepanjang PRN Johor untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan kesihatan kendiri, selain mengamalkan 3W (Wash, Wear and Warn).

“Kita harus menghargai pengorbanan pihak media, mereka mudah terdedah, kalau tidak mahu terdedah hanya duduk di rumah, tapi mana mungkin petugas media nak berada di rumah, media kalau perang pun, mereka ada di medan perang,” katanya.

Pada 11 Februari lepas, dilaporkan empat petugas media yang membuat liputan PRN Johor disahkan positif COVID-19, manakala sekurang-kurangnya lima lagi diarah menjalani kuarantin kendiri.

BBerkaitan

Latest articles