Pelukis mural potret pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seskyen U12, Shah Alam, Abdul Hadi Ramli, berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak lapangan untuk artis mural mencurahkan bakat kreativiti mereka.
Selain menterjemahkan hasil seni masing-masing, lukisan mural itu juga dapat mencantikkan sesebuah kawasan.
“Kebanyakan pelukis mural ini mahu ekspresikan karya mereka pada dinding, dan kalau kita lihat sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang.
“ Kami pun sebenarnya hasilkan ia (lukisan mural) secara bersahaja untuk suka-suka, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada board laman seni, jadi saya rasa ia mungkin boleh dinaik taraf supaya lebih banyak karya seni dapat dihasilkan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV malam tadi.
Abdul Hadi, 27, dikenali sebagai salah seorang pelukis mural gambar pemimpin yang berjasa kepada negara di kala Malaysia dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun hasil lukisan mereka diconteng dengan kata-kata kesat dalam satu kejadian khianat, tengah malam, Isnin lalu.
Selain Abdul Hadi, pelukis yang terlibat adalah Muhammad Suhaimi Ali, 27; dan Muhamad Firdaus Nordin, 26.
“Siapa yang tak kecewa melihat karya diconteng dengan kata-kata kesat, rasa penat lelah tidak dihargai, tapi kita sentiasa positif, lepas dapat maklum balas daripada orang ramai yang turut tidak bersetuju dengan perkara itu, kami lagi bersemangat untuk menghasilkan mural lain, ia juga sebagai pemangkin semangat.
“Seni itu bertujuan mencantikkan kawasan bukan memburukkan dan menjadi tarikan orang ramai, selain dapat membina ekonomi di situ, contohnya kawasan Seksyen U12, Shah Alam, pada asalnya orang tak tahu tapi disebabkan mural ini, orang dah mula beri perhatian,” katanya.