KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan kesediaannya untuk melepaskan jawatan Kabinet sekiranya diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Ampang itu menjelaskan perkara itu sudah pun dimuktamadkan beliau apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pada 26 Mei lalu.
“Kalau PM kata lepaskan (jawatan Menteri), saya akan lepaskan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan MRC ‘Global Funding for Rubber Innovation’, hari ini.
Sementara itu Zuraida turut memberitahu dirinya masih belum dipanggil untuk bertemu dengan Ismail Sabri.
“Saya pada hari ini tengah dalam mod standby untuk bertemu dengan Perdana Menteri tapi masa belum dapat lagi.
“Dia (PM) beritahu saya untuk berjumpa minggu ini jadi saya dalam mod standby,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan hadir dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan esok, Zuraida berkata: “Saya masih menteri.”
Zuraida yang ditanya mengenai jawatan apa yang akan disandang dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya menjawab keahlian beliau masih menjadi tanda tanya.
“(Keahlian saya) dalam proses. Keahlian pun belum diputuskan,” ujarnya.
Sebelum ini Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Mei lalu, Ahli Parlimen Ampang itu turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM.