Sedenak bakal jadi mercu baharu Iskandar Malaysia

Kuala Lumpur: Sedenak akan menjadi ‘flagship’ keenam di Iskandar Malaysia di Johor selepas pusat bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai-Skudai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap ‘flagship’ mempunyai fokus pembangunan tersendiri dan Sedenak akan memberi tumpuan kepada industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.

Menurutnya, beliau yang mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) secara maya, hari ini dimaklumkan agensi itu sudah memulakan inisiatif membangunkan Mukim Sedenak.

Katanya, pembangunan Sedenak yang terletak di utara Iskandar Malaysia adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu dan daerah berdekatan.

“Pada masa ini, kebanyakan pembangunan di Iskandar Malaysia tertumpu di bahagian selatan Johor maka pembangunan Sedenak akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri lain.

“Ia juga akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pengerusi Bersama IRDA, Datuk Hasni Mohamad yang juga Menteri Besar Johor.

Selaku Pengerusi Bersama IIRDA, Ismail Sabri berkata, Iskandar Malaysia juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran permulaan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Melalui Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG), sebanyak 252 syarikat mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baru termasuk wanita, penganggur, orang kurang upaya (OKU) dan pesara.

“Sementara itu, seramai 1,425 usahawan menyertai pelbagai program latihan, manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia.

“Manakala, seramai 140 peserta B40 sudah menyertai Program Kebun Bandar Iskandar Malaysia (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian, manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan,” katanya.

Menurutnya, IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia.

Bagi tujuan memperhebatkan bantuan untuk rakyat, IRDA turut menyarankan keperluan untuk meneruskan pembangunan rumah transit untuk rakyat yang baru bekerja, memulakan perniagaan atau berkeluarga.

“Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber mereka untuk masa hadapan lebih kukuh.

“Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia di Gelang Patah dengan hampir kesemua 1,500 unit pangsapuri didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 ini juga terus memberi tekanan kepada agenda dan inisiatif kemampanan Iskandar Malaysia.

“Justeru, Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju agar wilayah ini meneruskan dan mempercepatkan inisiatif utama seperti Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO), Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles