“Seburuk Saya Tak Pernah Cakap PAS Sesat, Muhyiddin Pernah Tuduh”

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak, terutamanya pemimpin politik menjaga kata-kata dan adab, baik sesama kawan atau lawan.

Berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Manir malam tadi, Anwar berkata sepanjang berpolitik, beliau tidak pernah melabel mana-mana pihak sebagai sesat dalam Islam.

“Kenapa kita perlu sokong PH? Seburuk saya, saya tidak pernah cakap PAS sesat. (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pernah tuduh PAS parti sesat. Kita kena tahu fitnah tak boleh.. bila jadi Perdana Menteri nak zalim nak sakau tak guna. Sebab tu saya tak ambil gaji sebab saya malu orang susah ramai, nak cari makan pun susah,” katanya.

Anwar juga memberitahu dirinya bersedia dengan teguran mana-mana pihak jika ada kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Perdana Menteri juga menegaskan, politik hari ini mesti berlangsung dalam keadaan harmoni, bukan dengan melempar fitnah semata-mata rasa tidak puas hati.

”Kadang-kadang kita pakai serban pakai jubah, cakap kena benar tak boleh cakap fitnah. Saya pakai songkok, tak boleh tipu sebab sekarang orang boleh dedahkan.

”Saya ini mudah, saya ini murid dapat tegur, kalau boleh betul saya betulkan jangan fitnah.

“Kita boleh berbeza pendapat tapi jagalah adab. Sokong PAS, tak apalah jangan gaduh, saya tak benci dia, itu hak dia,” katanya.

Dalam pada itu,.Anwar turut menyeru sokongan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya dapat diterjermah dengan baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti terutamanya kepada negeri pembangkang.

”Kenapa kena sokong PH? Kerana Terengganu dan Kelantan kena sama dengan Persekutuan bagi membawa perubahan kerana kebaikan. Kadang-kadang bila berubah ini ada baiknya.

”Saya tak mahu takbur, kita ada ikhtiar dan bertawakkalallah, innallah muhibul mutawakirin tapi percayalah keputusan PRN akan menyebelahi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles