Sebelum Sertai Bersatu, Ras Adiba Ada Minta Sambung Jawatan Senator, Pengerusi Bernama

KUALA LUMPUR: Menyifatkan terkejut dengan keputusan Datuk Ras Adiba Radzi menyertai Bersatu, namun Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berharap keputusan itu tidak berkait dengan jawatan yang disandang ketika ini, iaitu Senator Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam satu hantaran di Facebook, Nurulhidayah yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO mendedahkan Ras Adiba pernah meminta dirinya memanjangkan hajat peribadi untuk melanjutkan dua jawatannya itu.

“Saya bersikap terbuka dan berlapang dada. Saya berharap keputusan Kak Deeb (Ras Adiba) ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung term senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai Pengerusi Bernama.

“Secara terbuka saya nyatakan Kak Deeb ada meminta bantuan saya untuk ‘bisik’ kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tentang penyambungan term beliau dalam dua jawatan tersebut.

“Saya telah sampaikan kepada TPM tentang hasrat beliau tetapi keputusan besar bukan keputusan TPM sendiri dan sesiapa sahaja harus menghormati dan tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran,” kata Nurulhidayah.

Sedangkan pada Perhimpunan Agong UMNO 2023 baru-baru ini, selaku Pesuruhjaya NGO Skuad Sayang beliau telah mencadangkan Ras Adiba diangkat sebagai ikon di Majlis Hi-Tea Anugerah Skuad Sayang Wanita UMNO.

“Beliau bersetuju untuk menerima anugerah tersebut dan di luar kawalan dan pengetahuan saya beliau secara terbuka dan rasminya telah menyertai parti Bersatu sewaktu majlis jentera PN berlangsung di Seremban semalam,” kata Nurulhidayah.

Meskipun tidak sangka dengan tindakan Ras Adiba, beliau bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas wartawan dan penyampai televisyen tersebut dalam parti baharu yang disertainya.

Ahad lalu, Ras Adiba dilaporkan menyertai Bersatu dan menerima watikah keahlian parti berkenaan yang disampaikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Selain Ras Adiba, turut menyertai Bersatu adalah bekas Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal.

Ras Adiba Radzi mengangkat sumpah sebagai senator pada 20 Mei 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 24 November 2020.

BBerkaitan

Latest articles