More

    Saya Tidak Tahu Siapa Panggil Peserta Parlimen Maya – Hamid Bador

    Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador juga hendak tahu siapa pegawainya yang memanggil peserta parlimen maya serta peserta mana yang dipanggil, susulan berita mengatakan sebilangan daripada 222 peserta dihubungi polis selepas sesi dalam talian itu tamat pada Ahad.

    “Ini juga suatu berita buat saya, kononnya polis sudah memanggil mereka untuk diambil kenyataan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

    “Tidak ada dari pihak saya yang memanggil mereka. Saya minta kerjasama, sesiapa yang buat aduan, tampil ke hadapan. Jangan bimbang, kita akan ambil tindakan yang seadilnya.”

    Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mahu Hamid menjelaskan kenapa peserta Parlimen Digital dihubungi polis baru-baru ini, mengatakan tiada keperluan untuk polis berbuat demikian dan meminta maklumat peribadi mereka.

    Kenyataan itu selepas dilaporkan sebilangan daripada 222 wakil orang muda dihubungi polis selepas sesi maya itu tamat.

    Hamid sendiri tidak nampak sebarang kesalahan jenayah dilakukan peserta Parlimen Digital, bahkan memberi jaminan kebebasan bersuara mereka dihormati.

    “Saya terkejut kata polis ada memanggil mereka. Tidak ada sesiapa yang panggil,” katanya.

    Selain itu, Hamid mengingatkan ahli politik supaya mengambil tanggungjawab dan ingat tentang batasan undang-undang apabila mengeluarkan kenyataan.

    Parlimen maya merupakan inisiatif Challenger Malaysia, Undi 18, Liga Rakyat Demokratik dan Pertubuhan Beliau Malaysia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menunjukkan bagaimana badan perundangan boleh bersidang melalui platform atas talian.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini