KUALA LUMPUR: Dakwaan sebuah portal kononnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar keluar UMNO ditepis sendiri oleh Menteri Kesihatan itu.
Menegaskan tidak gemar dengan berita seperti itu, namun Khairy memberitahu dirinya terpaksa memberi respon selepas diajukan hal tersebut.
“Saya tak suka layan berita macam ini tapi ramai mesej dan tanya. Saya tetap UMNO.
“Saya menang KP (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO) tapi tak dilantik Kabinet, dipulau, tetap UMNO. Waktu kalah PRU-13 dan macam-macam political persecution, tetap UMNO.
“Saya kalah Presiden (UMNO) dan dipandang semacam, tetap UMNO. Kena cari kawasan baharu pun, tetap UMNO. Jangan risau. Dulu, kini, selamanya,” katanya menerusi Instastory di Instagram.
Terdahulu, sebuah channel Youtube 1 MillionTV memuat naik laporan kononnya Menteri Kesihatan itu keluar parti UMNO.
Laporan berita itu disunting dengan tajuk KJ Keluar UMNO! Sah. Keputusan Muktamad!! Mengejutkan UMNO!!.
Laporan berdurasi 2.08 minit itu mendapat lebih 8,000 tontonan sejak disiarkan di laman sesawang tersebut kelmarin.
Berdasarkan maklumat pada berita tersebut, Khairy dikatakan diberi dua kerusi Parlimen untuk dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Dikatakan penyandang Parlimen Rembau itu terpaksa berbuat demikian bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.