“Saya Tak Pernah Sertai Politik” – KPN Perjelas Isu Tular

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menepis spekulasi kononnya beliau pernah menyertai mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penegasan itu dibuat selepas insiden tular melibatkan kesilapan infografik oleh sebuah akhbar tempatan yang mendakwa beliau pernah menjadi ahli PKR.

“Seperti yang anda tahu, Datuk Fuziah dari PKR telah mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan segalanya. Sepanjang 38 tahun dalam PDRM, saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan menerima kecaman hebat selepas menerbitkan infografik yang mengaitkan penyertaan politik Mohd Khalid, termasuk mendakwa beliau pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan mengetuai Majlis Pimpinan Negeri Kedah.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh segera tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli mahupun memegang jawatan dalam PKR.

Akhbar terbabit kemudiannya memohon maaf secara terbuka melalui laman web rasmi serta platform media sosial mereka, selain menggantung sementara beberapa kakitangan Unit Media Sosial dan menjalankan siasatan dalaman.

Mengambil pendekatan terbuka, Mohd Khalid memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan akhbar berkenaan dalam masa terdekat bagi membincangkan insiden tersebut secara konstruktif.

“Kami akan bincang, dengar pandangan dan ambil tindakan yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Khalid turut menyeru agar media mengekalkan profesionalisme dan menyampaikan maklumat yang sahih demi kepentingan negara dan rakyat.

“Saya mohon semua wartawan beri laporan terbaik, tidak lari daripada fakta sebenar. Hubungan akrab antara PDRM dan media perlu diteruskan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak polis dan media adalah penting untuk menyalurkan informasi tepat kepada rakyat, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani.

BBerkaitan

Latest articles