PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berminat untuk “mengorek kisah lampau” yang berlaku semasa pentadbiran awam terdahulu.
Anwar menerusi pertemuan pertama bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pagi ini, berkata tumpuan utama ketika ini adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang kian merosot ke tahap lebih tinggi.
Justeru itu, beliau juga meminta semua penjawat awam bekerja dan berdisiplin serta bersama-samanya membawa perubahan tersebut.
“Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam tidak bersama saya.
”Jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau, bukan maksud saya untuk mengorek kisah lama, tidak saya tidak berminat.
“Hidup saya tahu apa erti derita dan sengsara tetapi yang penting adalah ke depan,” katanya dalam ucapan Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, tidak akan berkompromi dengan kebocoran dan ketirisan serta rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan tender kerajaan.
“Soal perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini tidak boleh lagi terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini tidak boleh lagi dan harus berlaku di semua peringkat,”tegasnya.