PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada arwah Zayn Rayyan Matin, mengesyaki anaknya telah diculik pada hari kehilangannya pada 5 Disember 2023.
Ismanira membuat pendedahan itu ketika memberi keterangan membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya, yang ketika itu merupakan seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun.
Menurut Ismanira, kehilangan anaknya mula disedari ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas Zayn bermain di taman permainan.
Ketika menaiki tangga, katanya, dia tidak lagi mendengar bunyi tapak kaki anaknya yang biasanya berada di belakangnya.
“Saya naik tangga dengan memegang barang dan beg sekolah Zayn. Zayn di belakang saya, tapi bila dah separuh jalan naik tangga, saya sedar tiada lagi bunyi tapak kakinya. Sebab itu saya syak dia dicekup dan dilarikan orang,” katanya dalam keterangannya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Bagaimanapun, kenyataan Ismanira dipersoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang mempertikaikan logik di sebalik dakwaan tersebut.
Dalam sesi soal balas, Raja Zaizul Faridah membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan bunyi tapak kaki atau sebarang reaksi yang boleh menunjukkan Zayn dilarikan.
TPR: “Kalau benar anak puan dilarikan, tentu puan akan dengar bunyi tapak kaki berlari. Betul?”
Ismanira: “Ya, betul.”
TPR: “Jadi dalam kejadian ini, mengapa puan tidak dengar apa-apa? Adakah puan bersetuju bahawa sebenarnya tiada sesiapa yang cekup atau larikan anak puan?”
Ismanira: “Tidak setuju. Maaf.”
Ismanira mempertahankan dirinya, menjelaskan bahawa dia memantau pergerakan anaknya dengan deria pendengaran kerana Zayn tidak selalu berada dalam pandangan mata, malah mempunyai rutin tersendiri sebagai kanak-kanak autistik.
Beliau turut menafikan gagal menjaga anaknya dan mendakwa dirinya tidak terlepas pandang tetapi peka melalui pendengaran.
Sebelum ini, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa mengabaikan Zayn di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah semalam membebaskan Zaim selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Ismanira kini terus membela diri dengan diwakili pasukan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pasukan pendakwaan pula diketuai Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Perbicaraan disambung esok.