Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi mengakui kesalahannya berhubung perbuatannya menghisap vape di dalam Dewan Rakyat pada minggu lalu.
Menyatakan permohonan maaf, Ahli Parlimen Sembrong itu juga memberitahu dirinya sudah membayar denda akibat kesalahan tersebut.
“Saya sudah nyatakan apa yang salah tetap salah. Saya sudah akui bahawa saya salah dan saya sudah minta maaf.
“Berkaitan pasal denda, saya sudah pun dikompaun dan saya sudah pun bayar fine (denda) yang diturunkan.
“Kalau Kluang masih nak mainkan politik di dewan, banyak kerja lagi untuk kita bincangkan di sini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Isu menghisap vape itu dibangkitkan Ahli Parlimen (Kluang-DAP), Wong Shu Qi menerusi Peraturan Mesyuarat 41(d) yang menggariskan bahawa ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan Parlimen.
Shu Qi embangkitkan perkara itu ketika mencelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mendakwa wujud ‘dua darjat’ dalam pelaksanaan hukuman dengan memberi contoh rakyat marhaen dikenakan denda jika melanggar peraturan.