KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa terharu apabila diberi kesempatan dan berpeluang membuka semula Kapsul Masa Wawasan 2020 yang ditanam di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Malah bekas Perdana Menteri itu bersyukur kerana masih diberi peluang melihat kembali barang-barang nostalgia yang dimasukkannya pada 1 Oktober 1996.
Untuk rekod, Kapsul Masa Wawasan 2020 dijadualkan dibuka pada tahun 2020 lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Antara barang-barang yang ditanam termasuk kad pengenalan, setem, duit kertas RM2, ucapan yang ditulisnya dan album mengandungi gambar-gambar.
Dalam pada itu Dr Maharhir mengakui dirinya tidak berharap untuk membuka kapsul itu ketika hayatnya masih ada kerana faktor umur yang telah lanjut.
“Saya fikir pada masa itu saya sudah tidak ada untuk melihat kembali kapsul itu. Tapi alhamdulillah saya berpeluang membukanya.
“Saya dapat membaca semula sajak yang ditulis sempena Ulang Tahun UMNO ke-50,” ujar beliau pada sidang media selepas majlis pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur hari ini.
Upacara pembukaan itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB).
“Kapsul itu ditanam hampir 30 tahun dulu ketika saya berumur 70 tahun. Saya berasa sebak dan bersyukur masih diberi peluang begini,” ujar Dr. Mahathir lagi.
Beliau bersyukur Menara Kuala Lumpur ditadbir dengan baik sejak pembinaannya dan diharap terus menjadi simbol kepada tahap kemajuan negara.
“Ketika mercu tanda kebanggaan negara itu dibangunkan, tiada bangunan pencakar langit lain didirikan. Kini seperti New York kerana penuh dengan bangunan tinggi,” katanya lagi.