KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengakui menerima dengan redha keputusan penggantungannya daripada Bersatu, meskipun berpendapat dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Baginya, pengorbanan itu perlu demi menyelamatkan parti daripada terus dilanda perpecahan dalaman.
“Kalau inilah harga perjuangan, saya rela. Apa yang kami perjuangkan hanya satu, mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden agar Bersatu dapat diselamatkan,” katanya memetik temubual bersama program SKOP MG terbitan MalaysiaGazette.
Menurutnya, usaha untuk bertemu Muhyiddin bagi menyuarakan pandangan akar umbi sering digagalkan oleh individu tertentu dalam parti.
“Kami hanya ingin sampaikan suara ahli di bawah, tapi laluan itu disekat. Ramai mahukan perubahan supaya parti ini kekal relevan,” ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan cadangan agar Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih jawatan presiden bukan bertujuan menyingkirkan Muhyiddin, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin muda untuk mengemudi hala tuju parti.
“Muhyiddin boleh terus berperanan sebagai pengerusi dan memantau perjalanan parti. Cadangan ini juga mendapat sokongan rakan kita dalam PAS,” katanya.
Beliau mengakui masih menghormati jasa Muhyiddin, namun menegaskan Bersatu kini memerlukan kepimpinan yang lebih bersemangat dan proaktif.
“Hasil tinjauan saya sendiri menunjukkan kebanyakan ahli mahu perubahan berlaku. Kalau suara ini terus diabaikan, masa depan Bersatu akan makin gelap,” katanya.
Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal, manakala beberapa pemimpin lain termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat selepas didapati melanggar perlembagaan parti.










