KOTA TINGGI: Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan sokongan beliau terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Beliau berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara, sudah pasti sokongan penuh diberikan kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan parti iaitu Manndzri Nasib.
“Saya orang parti. Saya berpandangan adalah penting untuk pemimpin berjiwa besar dan menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan BN,” katanya menerusi Facebook malam ini.
Beliau juga akan bersama-sama jentera sepanjang PRU15 dan mendoakan supaya pengundi terus memberi kepercayaan kepada calon BN.
Dr Adham yang menyandang kerusi Tenggara digugurkan daripada senarai calon BN untuk PRU15.