“Saya Minta Maaf” – Kor Ming Akur Silap Lepas Video ‘Tegur Wartawan’ Jadi Tular

IPOH: Susula kecaman berhubung video tular yang memperlihatkan tindakannya menegur seorang wartawan dengan nada dianggap kasar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.

Dalam sidang media khas di Ipoh yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya, Nga mengakui kesilapannya dan menegaskan beliau tidak pernah berniat menyinggung mana-mana pihak, khususnya kalangan pengamal media.

“Sekiranya ada rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf. Mereka yang mengenali saya selama 30 tahun tahu saya sentiasa menghormati kebebasan media dan hak bersuara,” katanya.

Menurut beliau, insiden yang berlaku ketika pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang itu berpunca daripada salah faham dan beliau bersedia bertemu dengan wakil media terbabit untuk menjernihkan keadaan.

Terdahulu, tular rakaman memperlihatkan menteri itu menegur seorang wartawan Utusan Malaysia yang bertanya mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam tema acara berkenaan.

Nga menjelaskan bahawa tema itu dipilih bagi menarik pelancong antarabangsa, namun nadanya yang tegas serta kenyataan mahu “menghubungi ketua pengarang” mengundang rasa kurang senang di kalangan warga media dan masyarakat.

Susulan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut mengeluarkan kenyataan menegaskan wartawan berhak mengemukakan soalan tanpa rasa takut atau diugut oleh mana-mana pihak.

Dengan permohonan maaf terbuka itu, Nga berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik dan menjadi pengajaran kepada semua agar komunikasi antara pihak kerajaan dan media terus terjalin dengan penuh hormat.

BBerkaitan

Latest articles