Saya Mahu Teruskan Legasi Perjuangan Allahyarham Bapa – Calon BN Sekong

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zharif Aizat Samsudin berazam untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong untuk meneruskan legasi kepimpinan bapanya, Allahyarham Datuk Samsudin Yahya di kawasan itu.

Mohd Zharif yang juga calon muka baru berkata, beliau mula serius menceburi politik sejak lima tahun lalu sebelum dicalonkan untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Katanya, beliau juga yakin mampu menawan kerusi itu kerana sudah dikenali rakyat di kawasan Sekong dan sokongan akar umbi.

“Saya membesar dalam dunia politik yang mana warga Sekong kenal dengan saya kerana arwah bapa saya sering membawa saya ke kawasan ketika saya masih kecil.

“Minat saya dalam arena politik adalah daripada arwah bapa.

“Saya lihat ada ruang untuk saya teruskan legasi bapa saya dan saya mula bekerja sehingga saya dipilih menjadi calon,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Zharif berkata, beliau berazam untuk mengangkat suara anak muda daripada kawasan itu jika memenangi pilihan raya.

Katanya, antara fokusnya adalah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini terutama di Sekong agar golongan anak muda tidak perlu berhijrah mencari rezeki di tempat lain.

“Di Sekong, kita kekurangan anak muda yang berani tampil ke hadapan untuk masuk ke gelanggang politik. Jadi ini juga menjadi satu dorongan kepada saya untuk mengangkat suara anak muda Sekong,” katanya.

Samsudin adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong dan menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama tiga penggal bermula 2004 sehingga 2018.

Beliau meninggal dunia pada 2022 ketika berusia 67 tahun.

Pada PRN17, senarai calon yang diumumkan setakat ini menunjukkan Mohd Zharif bakal berdepan dengan Puan Sri Diana Diego (GRS), Alias Sani (WARISAN) dan Mohd Fazriee Awang dari Perikatan Nasional (PN).

Kerusi DUN Sekong sebelum ini disandang oleh Alias yang memenangi kerusi itu pada PRN16 dengan majoriti 1,599 undi.
Ends

BBerkaitan

Latest articles