Saya ‘Katak’ biarlah apa orang kata- Baru Bian

BEKAS Menteri Kerja Raya, Baru Bian akhirnya ‘melompat’ parti lagi. Beliau sebelum ini keluar PKR kem Azmin kemudian bebas dan kini menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB)

Beliau menyifatkan dirinya sebagai ‘katak yang baik’ apabila mengesahkan menyertai Parti Sarawak Bersatu hari ini.

Beliau yang sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak turut menyifatkan, mereka yang keluar daripada parti berkenaan adalah ‘katak yang bijak’.

Justeru katanya, beliau tidak kisah jika ada yang menggelarnya sebagai ‘katak’ kerana kerap bertukar parti sejak menyertai politik pada 1987.

“Biarlah orang hendak kata apa mengenai saya, tetapi mereka harus faham maksud katak dalam politik.

“Kita terpaksa bertukar parti disebabkan pelbagai faktor, antaranya perubahan yang berlaku dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perasaannya jika ada yang menggelarnya sebagai ‘katak’ seperti yang biasa berlaku kepada mana-mana ahli politik yang melompat parti.

Baru bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How mengadakan sidang media bersama Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, bagi mengesahkan penyertaan mereka dalam parti itu, hari ini.

Baru menceburi politik pada 1987 dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan jawatan terakhir sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 2003.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ba’kelalan 2004 susulan kematian Adun kawasan itu, Dr Judson Sakai Tagal yang terkorban dalam nahas helikopter, Baru bertanding sebagai calon Bebas, namun tewas.

Pilihan Raya Negeri 2006, beliau menyertai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan bertanding di Dun Ba’kelalan, namun sekali lagi tewas.

Pada 2008, beliau menyertai PKR hingga dipecat daripada parti itu pada awal Mac lalu.

Baru berkata, selepas meninggalkan PKR, lebih 80 peratus bekas ahli parti itu di Sarawak mengikuti jejaknya menyertai PSB, namun beliau tidak menyatakan angka yang tepat mengenainya.

“Apa yang boleh saya katakan ialah semua yang sudah mengisytiharkan keluar daripada PKR kini menyertai PSB,” katanya.

Mengenai kemungkinan beliau antara 129 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Tun Dr Mahathir untuk membentuk kerajaan baharu, Baru berkata, beliau sememangnya penyokong kuat bekas Perdana Menteri itu.

BBerkaitan

Latest articles