“Saya Hanya Akan Letak Jawatan Jika Curi Duit Rakyat”

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada desakan politik untuk berundur, kecuali jika terbukti terlibat dalam penyelewengan atau salah guna dana awam.

Berucap di Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani hari ini, Anwar menolak tuduhan tidak berasas serta desakan agar beliau meletakkan jawatan.

“Apabila ada yang desak saya supaya turun, saya kata, Insya-Allah, saya tidak akan turun, kecuali kalau saya curi duit rakyat.

“Kalau saya curi, suruhlah saya turun. Tapi saya tak curi duit orang,” tegasnya di hadapan hadirin.

Anwar turut menyatakan bahawa proses demokrasi harus dihormati dan pembangkang boleh menggunakan saluran Parlimen untuk membawa usul jika mempunyai sokongan yang mencukupi.

“Guna Parlimen untuk kritik. Kalau mereka ada cukup jumlah, bawa usul. Kalau saya kalah, saya akan letak jawatan dengan baik. Itu cara aman dan beradab,” tambah beliau.

Anwar turut menempelak pihak yang terus memainkan isu-isu lama yang melibatkan dirinya, yang menurutnya tidak lagi relevan setelah hampir tiga tahun menerajui pentadbiran negara.

“Kes saya yang lama itu, lamalah. Saya sudah masuk tiga tahun sebagai Perdana Menteri. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya dah nyatakan, kalau ada kes, saya tidak akan pertahankan,” jelasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana pemimpin yang memiliki kekayaan luar biasa, termasuk mencecah ratusan juta ringgit, perlu tampil memberikan penjelasan.

BBerkaitan

Latest articles