“Saya Duduk di Belakang Kanan, Tercampak ke Longkang” — Mangsa Selamat Kongsi Detik Cemas Nahas UPSI

Tanjung Malim, — “Saya duduk di kanan, belakang sekali… kami tercampak masuk ke dalam longkang,” kata Abdul Wafiy Kamarudin, 23, seorang daripada tiga mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Dalam kejadian awal pagi Isnin (9 Jun), sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza. Insiden tragis itu telah meragut 15 nyawa — 10 daripadanya pelajar perempuan, dan lima lelaki.

Wafiy, yang masih dalam keadaan terkejut, menceritakan detik hitam itu ketika ditemui wartawan Bernama di lokasi kejadian.

“Saya berada di bahagian kanan, belakang sekali. Bila kemalangan berlaku, ramai di bahagian kanan tercampak keluar dan masuk ke dalam longkang. Mereka yang duduk di sebelah kiri kebanyakannya tersepit. Majoriti yang meninggal dunia adalah dari bahagian kiri,” katanya.

Tambah Wafiy, daripada lapan pelajar lelaki dalam bas berkenaan, hanya tiga terselamat — termasuk dirinya. Lima lagi disahkan meninggal dunia.

“Saya dengar juga ada yang putus jari… yang selamat hanya tiga orang sahaja,” jelasnya.

Beliau turut hadir ke lokasi kejadian hari ini untuk memeriksa barangan peribadinya yang mungkin masih boleh diselamatkan.

“Semua barang saya ok, cuma yang hilang ada beberapa barang peribadi macam ‘gadget’, kad pengenalan (IC) dan kad bank. Itu yang paling penting tapi memang tak jumpa,” katanya dalam nada kecewa.

Pihak berkuasa kini masih menjalankan siasatan penuh berhubung punca kemalangan, sementara warga UPSI dan keluarga mangsa terus berkabung atas kehilangan besar ini.

BBerkaitan

Latest articles