PORT DICKSON: Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mendakwa beliau dipecat daripada parti itu menerusi makluman ringkas dihantar melalui aplikasi WhatsApp, petang semalam.
Menurutnya, notis pemecatan berkenaan diterima daripada setiausaha Lembaga Disiplin parti sekitar jam 6 petang.
Mengulas keputusan itu, Chegubard mendakwa Bersatu kini tidak lagi mengutamakan perjuangan rakyat, sebaliknya hanya memihak kepada kelompok tertentu dalam kepimpinan tertinggi.
Beliau yang baru dipilih menerajui Bersatu Port Dickson pada November 2024 turut berikrar akan terus bersuara, khususnya dalam isu rakyat dan usaha membanteras rasuah, walaupun tidak lagi bersama parti itu.
Terdahulu, beliau mendedahkan menerima notis tunjuk sebab pada 10 Mac lalu berhubung beberapa dakwaan, termasuk mencemarkan imej parti.
Namun, beliau memilih untuk tidak menjawab notis tersebut kerana menganggap tuduhan itu tidak berasas.
Chegubard turut menyifatkan situasi berkenaan sebagai bukti wujudnya kawalan ketat dalam parti sehingga menyekat kebebasan ahli untuk menyuarakan pandangan.
Untuk rekod, beliau sebelum ini pernah menyertai PKR sebelum dipecat pada 2016, dan kemudian menyertai Bersatu pada 2020.
Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan daripada Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz masih belum berhasil.
Pergolakan dalaman Bersatu dilihat semakin memuncak sejak kebelakangan ini susulan konflik kepimpinan melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang turut menyaksikan beberapa pemimpin lain dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan dan penggantungan.










