KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dirinya dipergunakan oleh individu tertentu yang berusaha untuk menjatuhkan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Beliau mengakui diarahkan oleh seseorang yang dinamakan sebagai Mr H untuk berkomplot, dengan membuat rakaman perbualan video.
“Saya diarahkan untuk membuat satu rakaman perbualan video bersama Mohammad Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat di dalam aktiviti sonsang dan tidak bermoral. Hakikatnya video tersebut adalah video yang tidak mempunyai audio.
“Komplot untuk menjatuhkan beliau ini didalangi oleh individu berjawatan tinggi di dalam J-KOM sendiri yang saya namakan sebagai Mr. H.
“Sekitar November lalu, saya berjumpa Mr.H di pejabat beliau dan bermula daripada situ beberapa pertemuan diaturkan Mr. H termasuklah dibawa ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan individu-individu yang berpengaruh,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan bersama Dr Agus, di sebuah hotel di Bangi malam ini.
Bukan itu sahaja, lelaki berusia awaln30-an itu turut mendakwa Mr. H meyakinkannya mendapat sokongan beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Dr Agus sekiranya berjaya membuat rakaman itu.
“Saya terkejut apabila mendapati rakaman video tersebut telah disebarkan malah ia telah disunting dan diedit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan teknik voice over.
“Saya ingin menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka dan tidak benar. Saya kini sedar saya telah dipergunakan dan tidak lebih sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Mohammad Agus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung penularan video itu.