Saya Dah Lama Nak Kembali Pada UMNO, Kata KJ

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyuarakan keinginan untuk kembali menyertai UMNO susulan kenyataan kepimpinan parti yang membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dipecat untuk kembali tanpa sebarang syarat.

Perkara itu didedahkan Khairy menerusi Episod 191 podcast Keluar Sekejap yang bakal bersiaran, apabila beliau menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai satu perkembangan yang positif.

Menurut Khairy, pelawaan terbuka tersebut memberi isyarat jelas bahawa parti itu bersedia menerima semula bekas ahli, sekali gus membuka peluang buat beliau kembali bersama platform politik yang pernah menjadi medan perjuangannya lebih dua dekad.

“Apabila undangan seperti itu dibuat, saya sudah lama menyatakan hasrat untuk kembali ke UMNO. Saya melihat ini sebagai perkembangan yang baik dan satu peluang yang murni dari sudut peribadi,” katanya.

Sebelum ini, Zahid memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu “Rumah Bangsa” kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti tanpa dikenakan sebarang syarat.

Beliau menjelaskan langkah tersebut penting bagi menyatukan semula kekuatan UMNO selepas parti itu melalui pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 atas dakwaan melanggar disiplin parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Pemecatan itu berlaku ketika UMNO berdepan kemelut dalaman susulan keputusan buruk dalam pilihan raya berkenaan apabila parti tersebut hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen, satu pencapaian terendah dalam sejarahnya.

Khairy sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan parti, termasuk sebagai Menteri Kesihatan, Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022.

Selepas disingkirkan daripada UMNO, beliau terus aktif dalam wacana politik sebagai penganalisis serta pengacara podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang turut dikenakan tindakan disiplin oleh parti sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles