SEGAMAT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan tegas bahawa beliau bukan seorang pendendam, namun menegaskan kesetiaan beliau tetap pada perjuangan parti bukan kepentingan peribadi.
“Saya bukan pendendam. Saya takkan cabut keris selagi tiada keperluan. Apa yang saya jaga bukan diri saya, tapi UMNO dan Barisan Nasional,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Dewan Serbaguna Taman Yayasan, semalam.
Turut hadir, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip.
Ahmad Zahid turut menasihatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak terjebak dalam sikap ‘ketam dalam bakul’ yang akhirnya memakan diri.
“Jangan jadi macam ketam dalam bakul. Semua nak keluar tapi pijak sesama sendiri. Akhirnya tak ada seekor pun keluar, semua mati dalam bakul. Buat apa kita mati sebab pijak sesama kita?” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau menggesa supaya sebarang perbezaan pendapat dalam parti diurus secara beretika dan beradab.
“Kalau hari ini kita pemimpin kecil, insya-Allah esok kita boleh jadi pemimpin besar. Tapi kalau hari ini kita pernah biadab, bila kita naik nanti, lebih ramai pula yang akan biadab dengan kita,” ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa budaya menuding jari hanya akan meretakkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Beliau mahu semua pihak dalam parti memperkukuh kerjasama dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Solidariti itu aset paling penting dalam politik. Kita kena elak konfrontasi dan pegang prinsip parti lebih utama daripada diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengajak seluruh jentera UMNO untuk terus fokus memperkukuh perpaduan akar umbi agar parti tidak terheret kepada perpecahan hanya kerana perbezaan pendapat.