“Saya Bukan Nak Jadi PM Lagi, Hanya Beri Nasihat Untuk PN”

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berhasrat untuk kembali menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga, sebaliknya hanya mahu memainkan peranan sebagai penasihat sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.

Kenyataan itu disampaikan beliau dalam Himpunan Mandat Negarawan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti malam tadi.

Dalam ucapannya, bekas Perdana Menteri yang berusia lebih 100 tahun itu menyatakan bahawa faktor usia telah membataskan kemampuannya untuk menerajui pentadbiran negara.

“Saya dah tua… 100 tahun. Saya dah tak boleh berucap lantang seperti dulu. Saya bukan nak rampas tempat orang muda. Kita terima orang muda untuk pimpin negara,” ujar beliau.

Menurut Mahathir, walaupun tidak menyandang jawatan PM lagi, beliau yakin dapat menyumbangkan pandangan berharga daripada pengalamannya selama 24 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Bukan saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, tapi saya nak bagi nasihat. Saya pernah jadi Perdana Menteri selama 24 tahun, dan terlibat dalam politik lebih 80 tahun. Tentulah ada sedikit sebanyak yang boleh saya sumbangkan,” tegasnya.

Beliau juga menekankan perlunya menangani masalah kemiskinan yang masih membelenggu rakyat Malaysia, walaupun negara ini kaya dengan pelbagai sumber.

“Negara ini sebenarnya kaya, rakyat patut hidup senang, tapi kalau kita tak tahu urus dan manfaatkan aset yang ada, kita tak akan ke mana. Tanggungjawab utama kerajaan ialah menyelesaikan masalah kemiskinan. Kalau PN memerintah, kita akan tumpu untuk kurangkan kemiskinan,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Mahathir turut menyeru orang Melayu agar mengetepikan perbezaan politik buat sementara dan memberi keutamaan kepada perpaduan demi memastikan masa depan serta kestabilan negara.

“Sebab itu saya minta buat masa ini, kita ketepikan parti, kita utamakan Melayu. Kita nak berjuang untuk Melayu, pada masa yang sama bukan menolak kaum lain. Kita perlu jaga supaya orang Melayu mempunyai kekuatan yang cukup untuk memelihara negara ini. Inilah perjuangan yang sedang kita lakukan,” katanya.

Sebagai Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan Empat Negeri (SG4), Mahathir percaya bahawa PN akan membawa pendekatan kepimpinan baharu yang lebih terbuka, mendengar nasihat, dan peka kepada keperluan rakyat.

“Kalau berlaku perubahan kerajaan, kita akan ada Perdana Menteri yang sedia dengar nasihat. Saya percaya banyak masalah dapat diselesaikan kalau kepimpinan sanggup terima pandangan,” tambah beliau.

Mahathir juga menyatakan bahawa kekuatan sesuatu bangsa tidak harus bermakna menolak kepelbagaian. Beliau menggesa agar kerjasama antara parti dari pelbagai kaum diteruskan, supaya semua isu dapat dibawa ke meja perundingan secara harmoni demi kesejahteraan negara.

“Sistem politik kita membenarkan kerjasama antara parti pelbagai kaum, jadi semua isu boleh dibawa ke meja rundingan secara harmoni demi kepentingan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles