SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga minyak tidak dapat diturunkan seperti dijanjikan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), disebabkan beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.
Malah, Presiden PKR itu berkata banyak agenda reformasi tidak dapat dijalankan disebabkan keadaan yang sangat terbatas memandangkan segala keputusan terletak pada tangan Perdana Menteri.
“Sejarah 2018 itu kita capai (apabila menang dalam PRU) dan jadi sejarah baharu, tetapi malangnya kita tak boleh bawa agenda reformasi, disebabkan sangat terbatas.
“Dua minggu sekali saya jumpa dan gesa Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan semua dia setuju dan semua dia jawab “ya”, tetapi tak dak apa pun jalan.
“Sekarang kalau berjaya dan kali ini janji kita kepada rakyat, insya Allah kita akan tunai semua,” katanya ketika berucap sempena pengulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini.
Anwar ketika kempen PRU pada 2008 menyatakan hasil keuntungan minyak Petronas berjumlah RM80 bilion akan dipulangkan kepada rakyat dengan menurunkan harga minyak sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya itu.
Beliau yang ketika itu Penasihat Umum PKR mengakui tahu bagaimana hendak menguruskan ekonomi negara kerana selama menjadi Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 harga minyak tidak sekalipun dinaikkan.
Sementara itu, Anwar yang juga Penasihat PH mengakui ramai yang menyindir beliau mengenai janji dibuatnya pada 2008 itu.
“Ramai sindir pasal apa (sambil mengulangi janji disebutnya pada 208) “menang hari ini turun minyak esok”….kenapa tak jadi?
“Mengapa tak jadi, sebab kita (PKR) tak memerintah dan saya tak jadi Perdana Menteri, nak buat macam mana?” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui untuk menurunkan harga minyak bukan suatu yang mustahil dalam keadaan sekarang termasuk membabitkan minyak sawit, sekiranya kerajaan yang memerintah mempunyai keinginan berbuat demikian.
“Kalau dengan harga minyak sekarang tak ada sebab (harga) minyak tak boleh turun. Dengan harga minyak sawit sekarang, tidak ada sebab sebab minyak kepala sawit, terutama minyak mentah dan minyak makan tidak boleh diturunkan.
“Yang tak boleh diturunkan kerana pihak penguasa memikirkan cara nak menyelamatkan korporat di atas dan kita pula memikirkan cara menyelamatkan rakyat di bawah….itu bezanya,” katanya.
Justeru, Anwar berkata jika rakyat memikirkan untuk menyelamatkan mutu pendidikan negara supaya menjadi lebih baik, selain kemudahan untuk keluarga yang sakit, pendapatan serta upah yang lebih baik, maka kerajaan yang sudah 60 tahun tidak mampu membawa perubahan itu mesti ditolak.