Saya Angkat Tangan Lawan Mahathir, Bukan Sultan – Kata Anwar

KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin politik diingatkam tidak sesekali melampaui batas, terutama sehingga berani menghina institusi Raja-Raja Melayu.

Mengulas mengenai Datuk Seri Muhammad Sanusi Mat Noor, Anwar berkata ada perbezaan perjuangan politiknya suatu ketika dahulu dengan apa yang sedang dihadapi Menteri Besar Kedah itu.

“Saya angkat tangan itu, saya lawan Dr Mahathir, orang lain angkat tangan lawan Sultan Selangor.

“Jangan (lawan), ada had dia, you kritik caci Perdana Menteri ini, macam-macam, hari-hari maki, saya ambil tindakan? Tidak,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1445 Perpaduan, malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri.

Ujar Anwar lagi, sekiranya beliau mengambil tindakan sekali pun, ia tidak lebih daripada tuntutan di mahkamah dan laporan polis.

“Kalau saya saman, saman di mahkamah, saya buat laporan polis, saya tak ambil tindakan, saya tak guna Akta Hasutan.

“Raja itu dia di atas politik, Raja ini bukan Ketua parti, dia Ketua Negeri dan Ketua Negara.

“Dia main peleceh-peleceh boleh, (tapi) jawablah,” katanya.

Bukan itu sahaja, Anwar meluahkan rasa kesal apabila beliau dituduh menyalahgunakan kuasa selepas tindakan tegas diambil terhadap Muhammad Sanusi.

“… Perdana Menteri dan Kabinet, dia sudah takut kepada kami (PN), oleh kerana itu salah guna kuasa.”

Dalam masa yang sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan beliau tidak akan bersikap zalim dan mengambil pendirian terpilih terhadap pembangkang.

Apatah lagi dengan menggunakan Akta Hasutan untuk menghukum pemimpin PAS dan Bersatu.

“Saya tak mahu zalim kepada sesiapa, jangan bimbanglah, orang PAS ke orang Bersatu ke.

“Jangan bimbang, saya tidak akan zalim kerana saya tahu apa dia sengsara duduk dalam penjara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles