JEDDAH: Ketika 42 jemaah umrah Malaysia masih terkandas di Jeddah akibat didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan, muncul seorang individu berhati mulia yang tampil menawarkan bantuan tanpa sebarang kaitan dengan mana-mana pihak terlibat.
Individu yang dikenali sebagai Firdaus Firabib itu mengumumkan kesediaannya untuk menguruskan dan membiayai kepulangan semua jemaah ke tanah air, selepas menyaksikan video tular keadaan mereka yang dimuat naik oleh mutawif kumpulan tersebut, PU Abu Sufiyan, di TikTok.
“Saya tak ada kaitan langsung dengan travel agent, dengan jemaah, dengan mutawif, saya cuma terpanggil nak bantu atas dasar kemanusiaan. Bila tengok depa minta jemaah pinjamkan duit untuk balik, itu melampau. Jemaah dah tertekan sangat,” katanya dalam video yang kini meraih ribuan tontonan di media sosial.
Firdaus berkata, beliau telahpun membayar penuh kos penginapan semalam untuk semua 42 jemaah yang masih berada di Jeddah dan akan menguruskan pembelian tiket penerbangan balik seawal esok pagi.
“Insya-Allah, berapa pun jumlahnya, saya usaha. Kalau sampai RM85,000 pun, kita usaha sama-sama. Duit boleh cari, tapi tekanan yang mereka alami sekarang tak boleh dibayar dengan apa-apa,” ujarnya.
Menurut Firdaus, semua urusan penerbangan hanya dapat dilakukan pada hari bekerja memandangkan hari ini merupakan cuti hujung minggu di Arab Saudi.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seramai 42 jemaah umrah Malaysia yang terdiri daripada warga emas dan penjawat awam terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu, selepas mendakwa menjadi mangsa pemalsuan dokumen tiket penerbangan oleh syarikat pengendali, Persada Global Holidays (PGH).
Mereka yang sepatutnya pulang selepas menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke Taif, terkejut apabila dimaklumkan tiket penerbangan mereka tidak wujud, walaupun bayaran penuh antara RM9,000 hingga RM12,000 seorang telah dibuat.
Mutawif mereka, PU Abu Sufiyan, turut menjelaskan bahawa agensi berkenaan meminta tambahan RM2,300 seorang untuk membeli tiket baharu, dengan alasan syarikat “kehabisan dana”.
Setakat ini, pihak Persada Global Holidays masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu ini.
Sementara itu, kumpulan jemaah berkenaan masih menunggu perkembangan terbaru dan mengharapkan bantuan segera agar mereka dapat pulang ke tanah air dalam masa terdekat.